Tak kenal maka tak cinta.
Begitulah pepatah Melayu dalam menggambarkan peri pentingnya menelusuri latar belakang dan susur galur seseorang individu atau sesebuah organisasi agar wujud perasaan kasih dan sayang terhadapnya.
Atas faktor tersebut, penulisan ini akan membincangkan mengenai sejarah dan perjalanan KAFA Al-Amin Berjaya Park dengan harapan perasaan kasih dan sayang di kalangan pelajar dan ibu bapa menjadi lebih mendalam terhadap institusi ini.
KAFA Al Amin wujud atas kesedaran betapa pentingnya asas pendidikan Islam diberikan kepada anak-anak. Atas inisiatif Ustaz Mohamed Zairi Drahman bersama barisan Ahli Jawatankuasa Surau Al-Amin yang antaranya terdiri daripada Haji Basri, Encik Shahril, Encik Sujaie dan En Adli, mereka memulakan gerakan bagi mewujudkan kelas pengajian agama kepada anak-anak yang tinggal di Berjaya Park pada bulan Oktober 2011.
Bertitik tolak dari itu, Ustaz Mohamed Zairi bersama pasukannya berusaha mencari dana dan tenaga pengajar agar pengambilan pertama pelajar dapat dimulakan seawal Januari 2012, yakni hanya dalam tempoh 2 bulan selepas cadangan penubuhannya.
Mereka bersetuju agar ruang solat terbuka di sebelah tepi Surau Al Amin dijadikan sebagai kelas KAFA dengan pembinaan tambahan yang bersumberkan dari dana surau dan sumbangan orang ramai. Alhamdulillah, pembinaan tambahan berkenaan berjaya dilaksanakan dalam tempoh dua bulan.
Tiga orang guru telah dilantik bagi membantu penubuhan KAFA ini iaitu Ustazah Jannah, Ustazah Hasmah dan Ustazah Zalikha. Ketiga-tiga mereka turut sama memberikan idea serta terlibat secara langsung dalam mencari pelajar. Antara usaha yang dilakukan ketika itu ialah memasukkan kertas makluman pengambilan pelajar ke dalam peti surat setiap rumah di Berjaya Park.
Pada bulan Disember 2011, Ustazah Jannah menerima tawaran kerja di tempat lain dan Ustaz Muhammad Syawal bin Sa’abani yang menggantikan beliau telah melaksanakan tugas selaku Ketua Guru yang pertama.
Dengan jumlah pelajar seramai 58 orang, KAFA Al Amin secara rasmi dibuka pada bulan Januari 2012. Walaupun bergerak di bawah pentadbiran sendiri, proses pengajaran dan pembelajaran tetap menggunakan modul daripada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).
Pada masa tersebut, yuran bulanan yang dikenakan bagi setiap pelajar ialah RM60.00 dan ia digunakan sepenuhnya untuk membayar gaji guru. Buku teks dan buku latihan dibeli sendiri oleh ibu bapa manakala bil elektrik dan air ditampung oleh pihak Surau Al-Amin.
Pada tahun 2012, Ustaz Mohamed Zairi telah mencadangkan agar KAFA inberdaftar dengan JAIS dan permohonannya telah dikemukakan secara rasmi.
JAIS telah memberikan pengiktirafan sementara selama lima tahun kepada KAFA Al Amin bermula pada bulan Mac 2013. Rentetan dari itu, Ustazah Faridah binti Marzuki telah dihantar secara rasmi oleh pihak JAIS ke KAFA Al-Amin sebagai Ketua Guru yang baru pada bulan November 2013.
Susulan pengiktirafan oleh JAIS ini, kemasukan guru lantikan JAIS bermula. KAFA Al Amin turut dijadikan pusat peperiksaan bermula tahun 2014. Ini bermakna para pelajar KAFA Al Amin tidak lagi perlu menumpang di sekolah lain untuk menduduki UPKK dan PSRA.
Menyedari permintaan yang semakin meningkat di kalangan ibu bapa untuk menghatar anak-anak mereka ke KAFA Al Amin Berjaya Park, Ustazah Faridah bersama-sama Encik Ahmad Sujaie bin Nanyan, Pengerusi Surau Al Amin telah berbincang dan mencapai kata sepakat untuk membina ruang kelas tambahan menggunakan konsep kabin.
Alhamdulillah, pada akhir bulan Februari 2018, kabin berkenaan telah mula digunakan dengan menempatkan 3 bilik darjah dan sebuah bilik guru.
Di awal penggunaannya, kabin berkenaan hanya menggunakan kipas. Para pelajar dan guru setiap hari berpeluh kepanasan. Mujur terdapat ibu bapa kepada salah seorang pelajar yang prihatin tampil menyumbang peghawa dingin untuk kegunaan kelas di kabin berkenaan. Alhamdulillah berkat sumbangan beliau, para pelajar lain dan guru turut berasa selesa sepanjang proses pengajaran dan pembelajaran yang berlangsung sehingga ke hari ini.
Sebagai usaha untuk terus menyediakan persekitaran pembelajaran yang kondusif kepada para pelajar, satu lagi blok kabin telah mula dibina untuk dijadikan bilik darjah yang baru. Pembinaan blok baru ini bermula pada bulan November 2019. Walau bagaimanapun, pada bulan Disember 2019 pembinaannya terhenti kerana terputus dana.
Anggaran kewangan yang diperlukan untuk membina satu blok baru kabin yang akan memuatkan empat buah bilik darjah berjumlah RM155,000.00. Sumber dana bagi tujuan pembinaan ini sangat bergantung kepada sumbangan ibu bapa dan orang ramai.
Ketika ini, anggaran sebanyak RM75,000.00 masih diperlukan untuk memastikan kabin berkenaan siap dibina. Pihak KAFA berterima kasih kepada kontraktor pembinaan yang sangat memahami kerana sanggup untuk menerima bayaran secara berperingkat, sedikit demi sedikit.
Menjadi harapan PIBG agar lebih ramai ibu bapa tampil membantu sama ada memberikan sumbangan kewangan mengikut kemampuan dengan menyalurkan secara terus ke dalam akaun PIBG atau membantu dari aspek mencari penyumbang kepada akaun berkenaan.
Hari ini, KAFA Al-Amin diketuai oleh Ustazah Aizan Suhaila binti Mohd Padilah yang berkuatkuasa pada 17 Ogos 2020. Beliau menggantikan Ustazah Faridah yang telah bersara wajib.
Diharapkan di bawah kepimpinan Ustazah Aizan, KAFA Al-Amin Berjaya Park akan terus mengekalkan status lulus 100% dalam semua mata pelajaran PSRA dan UPKK setelah 5 tahun mencapainya. In Sha Allah.
Begitulah secara ringkas sejarah perjalanan KAFA Al-Amin Berjaya Park yang dapat dikongsikan. Input kepada penulisan ini adalah hasil penceritaan secara lisan oleh Ustaz Muhammad Syawal. Ustaz Syahmi turut menyumbangkan maklumat dalam penghasilannya.
Sekiranya ibu bapa mempunyai gambar-gambar di awal penubuhan KAFA ini boleh lah berkongsi di ruangan komen agar pihak PIBG dapat kumpulkan untuk rujukan pelajar dan guru pada masa mendatang.
In Sha Allah, kami akan terus berkongsi maklumat-maklumat lain berkaitan KAFA Al-Amin dalam penulisan akan datang.
Sementara itu, jangan lupa untuk menyumbang walaupun serendah RM10.00 agar pembinaan bilik darjah yang baru dapat disegerakan demi keselesaan anak-anak kita.
Wassalam.
Maklumat Akaun:
Nama Bank : BANK ISLAM MALAYSIA BERHAD
Nombor Akaun : 1224 3010 0132 49
Nama Akaun : PIBG SAR KAFA (I) AL-AMIN BERJAYA PARK
Tiada ulasan:
Catat Ulasan